Monday, April 11, 2011

Penonton lebih menggila Rock dari Pop!

Biasanya bila disebut tentang muzik, ianya lebih banyak dikaitkan dengan anak-anak muda. Tapi ini tidak bermakna orang-orang tua tak minat langsung mendengar muzik atau mengikuti perkembangan dunia muzik sama sekali!

Anak-anak muda yang meminati muzik pula berbagai kategori. Ada yang lebih senang menikmati lagu-lagu yang muziknya sentimental dan mendayu-dayu. Pokoknya, bila mendengar irama yang begini, hati dibuai rindu! Malah ada yang mengalirkan air mata bila mendengar lagu-lagu yang mempunyai cerita di sebaliknya. Maka golongan inilah yang dinamakan Mat Jiwa-jiwa dan Minah Jiwa-jiwa. Biasanya golongan begini sedang diamuk cinta dan lagu-lagu berirama sentimental cepat menyentuh perasaan. Maka inilah dia golongan yang meminati lagu-lagu berirama pop termasuk dangdut. Sekiranya ada pertunjukan yang menampilkan penyanyi-penyanyi seperti Sudirman, Noorkumalasari, Sharifah Aini, Noreen Noor, Fauziah Ahmad Daud, Jamal Abdillah dan ramai lagi artis-artis pop, maka golongan di ataslah penonton utamanya. Biasanya golongan ini tidak terlalu 'menggila' bila menonton pertunjukan pop kalau dibandingkan mereka yang menyaksikan pertunjukan rock!

Paling tidak, kalau penyanyi pujaan mereka muncul dengan lagu kegemaran mereka, maka mereka naik ke pentas menghulurkan sekuntum mawar merah atau cukup sekadar bersalam. Tepukan silih-berganti dan kalau penyanyi lincah seperti Ogy, Noreen atau Sudir menyampaikan lagu 'hot', mereka mengambil masa juga untuk naik ke pentas menari bersama. Bagi yang ingin mencari ketenangan jiwa, maka pertunjukan pop adalah sesuai. Anda dinasihatkan jangan sama sekali mencari kedamaian hati dengan menyaksikan 'rock show'!

Paling ketara, muziknya kuat bagaikan nak pecah anak telinga! Alat-alat muzik semuanya heavy metal dan suara penyanyinya tenggelam dek muzik yang kuat. Showmanship penyanyi dan pemain muzik benar-benar bagaikan dirasuk. Melonjak, melompat, menggeliat, menjerit dan macam-macam gaya yang membuat mata anak muda terbeliak!

Pokoknya mata yang mengantuk terus celik. Bagi yang memang kaki rock, hai! hai! hai! Memang tak senang duduklah. Kaki sentiasa bergoyang, tangan turut melambai, malah kalau yang dah terlalu menggila sangat tu, terus melompat ke pentas dan menari bersama si penyanyi.

Kita boleh kenal dengan golongan yang meminati muzik rock dari segi pakaian dan juga rambut. Mereka bukanlah golongan Mat Smart, tapi cukup selesa dengan jeans lusuh, Kemeja-T yang terpampang bermacam-macam gambar kumpulan rock dengan perkataan yang 'bergegar' serta fesyen rambut yang kusut masai dan terjuntai sedikit di hadapannya.

Kumpulan muzik rock tanahair yang kini mendapat tempat di hati peminat-peminat rock terdiri dari Search, Lefthanded, Sweet Charity, Blues Gang, Headwind, Kumpulan SYJ dan beberapa kumpulan lagi. Penyanyi rock yang diminati masa kini pula terdiri dari Ramli Sarip, Ito Mohammad, Amy, Amir dan beberapa orang lagi. Mereka digelar 'Rocker'!

Bagi anda yang berjiwa sentimental, anda tidak akan senang melihat telatah dan gelagat 'kutu-kutu rock'. Mereka menjerit sekuat hati dan tidak mempedulikan langsung keadaan sekeliling. Mereka mabuk dengan irama rock yang bingit dan sekira si penyanyi membawa lagu yang kurang dengan irama rock, maka mereka akan menjerit: "We want rock! We want rock!"

1 comment: